Isnin, 31 Mei 2010

sejarah tarian mongigol: tarian tradisi masyarakat dusun tobilung

Seperti juga suku-suku kaum yang lain, suku Tobilung juga mempunyai warisan budaya tersendiri dan unik yang diwarisi turun temurun yang sehingga kini menjadi kebanggaan dan tetap terpelihara sejak zaman berzaman. Suku kaum Tobilung amat sinonim dengan tarian ‘mongigol’ iaitu tarian tradisi kaum Tobilung dan telah menjadi identity kepada kaum minioriti ini.

Kaum Tobilung mentafsirkan tarian ‘ mongigol’ ini sebagai ‘ tarian helang ’ kerana rentak tarian ini seakan-akan mengikut rentak pergerakan seekor burung helang ‘ kondiu ’ yang sedang terbang melayang-layang. Menurut sejarah atau cerita orang-orang tua, kononnya pada suatu ketika dulu di waktu cuaca yang cerah dan terang seorang anak gadis Tobilung sedang beristirehat sambil menikmati keindahan alam semesta di serambi pondok keluarganya, tiba-tiba dia terpandang seekor burung helang ‘ kondiu ’ yang sedang terbang di ruang angkasa.

Pergerakan burung helang tersebut kadangkala berhenti lalu mengepak-ngepakkan, mengembangkan dan menguncupkan sayapnya untuk mencari mangsa. Si gadis Tobilung yang terpegun melihat pergerakkan burung helang tersebut yang bagaikan sedang mempersembahkan sebuah tarian lalu mendapat ilham untuk mencipta sebuah tarian berasaskan peristiwa tersebut. Tarian yang diciptakan itu telah mendapat sambutan baik dari kalangan muda-mudi mahupun orang-orang tua pada masa itu. Tarian tersebut terus berkembang dan mendapat tempat di jiwa suku kaum Tobilung yang akhirnya dinamakan tarian ‘mongigol ’ dan telah menjadi tarian tradisi suku kaum Tobilung sehingga menjadi popular dan kebanggaan generasi masa kini.

Pada ketika dahulu tarian ‘ mongigol ’ ini hanya disertai oleh anak-anak gadis atau perempuan sahaja dan dipersembahkan pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti majlis perkahwinan dan juga pada hari mengadakan pesta keramaian seperti ‘monguyas norutip’ ( Pesta Kaamatan ). Para peserta yang mempersembahkan tarian ini akan memakai pakaian tradisi dan diiringi oleh rentak muzik tradisi seperti gong ( tawag ), canang ( tinukul ), kulintangan dan gendang.

Setelah sekian lama keaslian budaya tradisi ini dipertahankan akhirnya melalui permuafakatan dan dipersetujuan beberapa ketua masyarakat kaum Tobilung pada akhir tahun 1980-an tarian tradisi ini telah diubahsuai sejajar dengan peredaran dan perkembangan zaman.

Pada masa yang lalu, penari dan pengiring tarian tradisi ini hanya terdiri dari kalangan anak-anak gadis atau perempuan sahaja, kini tarian tradisi ini ditampilkan dengan lebih bergaya dan menarik lagi kerana penari lelaki juga telah ‘ dibolehkan ’ turut serta dalam mempersembahkan tarian tradisi ini. Penyertaan penari lelaki dalam mempersembahkan tarian tradisi ini dilihat tidak menodai kesucian dan keasliannya kerana ciri-ciri gaya dan rentak tarian serta iringan nada muziknya masih dikekal dan dipertahankan. Malah tarian tradisi ini semakin popular dan mendapat sambutan menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat samada dari dalam lingkungan masyarakat Tobilung sendiri mahupun dari luar.

Pihak kerajaan juga turut memberi perhatian ke atas perkembangan budaya asli kaum Tobilung ini. Kumpulan penari tarian ‘mongigol’ yang bernaung atas nama Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA) melalui Biro Kebudayaan telah berkali-kali dijemput mempersembahkan tarian ini dalam majlis-majlis keramaian seperti Pesta Kaamatan di peringkat negeri dan daerah, Perayaan Tahunan Tamu Besar daerah Kota Belud, Perayaan Pesta Jagung daerah Kota Marudu dan di Pesta Kebudayaan peringkat antarabangsa.

4 ulasan:

  1. tq utk sejarah tarian mongigol tobilung..ngam2 saya cari, saya terjmpa ni page..thanx!

    BalasPadam
  2. baik untuk tatapan semua warga dusun tobilung...

    BalasPadam
  3. mw cari maklumat tetg tobilung.. akhirnya sa jmpa page nh.. syukur.. tugas mkin seng..
    harap dpt wt cpat..

    BalasPadam